FORUM GRAVITI WANITA
Nur Aina Balqis Binti Mohamad Rosidek
25 Oktober 2017 - Pusat Islam UNIMAS (PITAS) dengan kerjasama Jawantankuasa Surau Sakura (JASSA) telah mengadakan satu forum intelektual yang bertajuk: Graviti Wanita. Forum ini telah diadakan di Dewan Syarahan, PITAS pada 24 Oktober 2017. Objektif forum ini adalah untuk mengupas isu sosial, spiritual dan intelektual para siswa, terutama sekali mahasiswi di UNIMAS. Bukan itu sahaja, majlis ini juga diadakan untuk mendedahkan mahasiswa dan mahasiswi mengenai peranan, kejayaan, nilai dan martabat seorang wanita.
Forum ini diwarnai dengan kehadiran panel jemputan iaitu, Profesor Dr Siti Raudzah Binti Ghazali, Dekan Pusat Pembangunan Pelajar, Prof Madya Dr Abdul Halim Busari, Pengarah Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), dan saudari Nurul Asna Hidayah Binti Mior Abdul Rahman selaku 'moderator'.
Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya para hadiran melagukan Asmaul Husna bagi memberkati lagi majlis tersebut. Seterusnya, majlis diteruskan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Nasyid Ashabul Kahfi yang mendendangkan tiga buah lagu yang berunsurkan topik utama forum pada malam itu iaitu wanita. Seusainya persembahan daripada kumpulan nasyid tersebut, panel dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada 'moderator', saudari Nurul Asna Hidayah kepada para panelis.
Panel dimulakan dengan soalan yang dilontarkan kepada Profesor Dr Siti Raudzah mengenai kehebatan wanita. Profesor menekankan bahawa wanita kini telah keluar dari kepompong persepsi generasi tua. Hal ini kerana, wanita hebat dalam sudut emosi dan dari kekuatan itu juga, wanita mendapatkan kehebatan dan kekuatan yang lain.
Panel diteruskan lagi dengan soalan yang diajukan kepada Prof Madya Dr Abdul Halim iaitu kaitan antara wanita dan graviti. Prof Madya Dr Abdul Halim mengaitkan isinya dengan ayat dari al-Quran di mana tertulis bahawa penciptaan Allah SWT yang paling terbaik ialah wanita. Beliau meneruskan lagi dengan menerangkan mengenai kaitan kajian graviti Sir Isaac Newton dan wanita yang membuka minda dan pandangan para penonton mengenai hubungkait sains dan wanita.
Pelbagai soalan telah dirungkai oleh para panelis seperti masalah-masalah yang dialami oleh seorang wanita dan cara menyelesaikannya dari segi spiritual dan intelektual. Selain itu, para panelis juga menyentuh isu-isu semasa seperti penderaan seksual dan penderaan domestik terhadap kaum wanita. Isu semasa lain seperti keengganan mahasiswi untuk berkahwin selepas menghabiskan pengajian juga disentuh. Slot Q&A juga dibuka agar persoalan penonton dapat dibincangkan bersama. Banyak soalan bernas yang diterima oleh para panelis seperti tafsiran ayat-ayat Surah Yusof yang berfokuskan peranan wanita dan masalah-masalah yang harus dihadapai kaum wanita selepas mendirikan rumah tangga.
Forum ini diakhiri dengan kata-kata akhir dari Saudari Nurul Asna yang meringkaskan bahawa wanita perlu memainkan peranan dengan baik dan harus sentiasa menuntut ilmu supaya dapat mengetahui dan mengamalkan hak masing-masing. Majlis ini berakhir dengan jayanya, terutama sekali dengan sokongan padu dari penghuni kolej Sakura yang tidak kira bangsa dan agama.