Kembara Muallaf
Kampung Meranek: Exco Pembangunan Jawatankuasa Kolej Sakura sesi 2015/16, Universiti
Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengadakan Program Kembara Muallaf yang
berlansung selama tiga hari dua malam dari 14 hingga 16 April 2016 di Kampung
Meranek, Kota Samarahan. Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Harakah
Islamiah (HIKMAH) Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak (MIS). Program Kembara
Muallaf ini merupakan cetusan idea dan usaha pengarah program, Saudari Puteri
Azira Azmin untuk membawa para muallaf dari Sri Aman untuk mengembara ke Kota
Samarahan.
Program
ini telah melibatkan 10 orang muallaf dari Kg. Punggu dan Kg Jaong di Sri Aman,
penduduk Kg Meranek, Kota Samarahan dan ahli jawatankuasa dari 28 orang mahasiswa
mahasiswi dari UNIMAS.
Konsep
keluarga angkat yang telah diterapkan dalam program ini menjadikan program ini
lebih menarik. Hal ini demikian kerana para muallaf dan pelajar dari UNIMAS
dapat beramah mesra dan menjalinkan silaturrahim dengan penduduk Kg Meranek
yang menjadi keluarga angkat mereka sepanjang program ini dijalankan.
Pelbagai
slot ibadah asas disediakan sepanjang program ini termasuklah slot solat,
puasa, aurat dan ikhtilat dan kewajipan seorang Muslim. Slot-slot yang digarap
sepanjang program ini diharap dapat membantu dan membimbing para muallaf yang
masih baru untuk lebih mengenali dan mendalami ilmu Islam. Selain itu, program
ini juga bertujuan untuk menyemai sikap dah sahsiah Muslim yang mantap dalam
kalangan peserta muallaf. Sifat cakna ummah juga dapat dipupuk dalam kalangan
penduduk Kg Meranek dan mahasiswa mahasiswi UNIMAS.
Majlis
perasmian telah berlansung pada 14 April 2016 dengan jayanya dan dirasmikan
oleh Puan Norzahan Bahani, Ketua Cawangan Tabung Baitulmal Kota Samarahan.
Majlis penutupan pula telah dirasmikan oleh Prof Siti Raudzah Ghazali, Dekan
Pusat Pembangunan Pelajar, UNIMAS.
“Program
yang sangat menarik. Saya gembira dapat belajar pelbagai ilmu baru. Slot paling
menarik adalah lawatan ke UNIMAS. Saya berharap semoga anak saya juga akan
berpeluang menyambung pelajaran di sana,” kata salah seorang dari peserta
muallaf Kg Jaong, Serina Jetik.
Diharap
organisasi dan persatuan lain mengambil peluang untuk mengadakan program
seperti ini demi menjamin kelansungan dakwah dan syiar Islam di bumi kenyalang
ini. Masih ramai lagi saudara baru kita atau para muallaf yang menantikan
program-program seperti ini.
“Selain
daripada rasa tanggungjawab untuk membantu golongan asnaf muallaf, saya juga
mengharapkan agar program ini mampu meningkatkan motivasi, sifat amanah dan
semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UNIMAS khususnya
dalam kerja dakwah kepada saudara baru Muslim di negeri Sarawak ini,” kata
pengarah program Kembara Muallaf, Saudari Puteri Azira Azmin ketika majlis
penutupan program ini.
By: Marjana Darus
No comments:
Post a Comment
Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.
Any feedbacks and responses are very welcome.