CERAMAH ZIARAH KE ALAM BARZAKH: KEMATIAN ADALAH SEBUAH KEPASTIAN




نَسْأَلُكَ يَامَنْ هُوَ اللهُ الَّذِيْ لآَ إِلَهَ إِلّاَ هُوَ اْلرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ
Nas-aluka yâ man huwaAllâhulladzî lâ ilâha illâ huwar-Rohmânur-Rohîm
أَلْمَلِكُ اْلقُدُّوْسُ السَّلَامُ اْلمُؤْمِنُ اْلمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ اْلجَبَّارُ
Al Malikul Quddûsus-Salâmul Mu.minul Muhaiminul ‘Azîzul Jabbâr
اْلمُتَگَبِّرُ اْلخَالِقُ اْلبَارِئُ اْلمُصَوِّرُ اْلغَفَّارُ اْلقَهَّارُ اْلوَهَّابُ الرَّزَاقُ اْلفَتَّاحُ اْلعَلِيْمُ
Al Mutakabbirul Khôliqul Bâri-ul Mushowwirul Ghoffârul Qohhârul Wahhâbur-Rozzâqul Fattâhul ‘Alîm

22 NOVEMBER 2019, JUMAAT – Asma’ul Husna, 99 nama Allah SWT dialunkan sebagai pembuka tirai bagi program Ceramah Ziarah ke Alam Barzakh: Kematian Adalah Sebuah Kepastian anjuran Jawatankuasa Surau Sakura (JASSA) Sesi 2019/2020 yang bertempat di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) UNIMAS.

Ceramah Ziarah ke Alam Barzakh disampaikan oleh Ustaz Muhamad Fadhli Bin Ahmat, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS dan dihadiri oleh Pengetua Kolej Sakura, Cik Siti Nor Ain Binti Haji Musa, Felo Kolej Sakura, Cik Noorfarida Binti Saini dan Cik Raja Norazizah Binti Raja Harun serta Pengarah PITAS, Profesor Madya Dr Abdul Halim bin Haji Busari.


Ustaz Muhamad Fadhli Bin Ahmat memulakan bicara dengan mengalunkan surah Al-Kahfi ayat 1 hingga 10 bersama penonton yang hadir. Beliau yang juga merupakan Kaunselor Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) menyatakan melalui ceramahnya bahawa alam barzakh adalah alam yang dilalui oleh manusia setelah meninggal dunia yang menjadi pemisah antara alam dunia dan alam akhirat.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat), dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman, ayat 34)


Ustaz kelahiran Jerteh, Terengganu ini menyatakan lagi bahawa manusia perlu mengingati mati sekurang-kurangnya 2 kali sehari iaitu waktu hendak tidur dan bangun dari tidur. Sewaktu bangun daripada tidur, kita membaca doa yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali. Doa itu sebenarnya mengandungi pengertian yang sangat besar iaitu berkaitan dengan kematian. Ketika tidur kita semua dikatakan mati sebentar. Apabila terjaga, Allah SWT akan menghantar semula roh kita. Maka, setiap orang Mukmin tidak akan sesekali lalai kerana setiap kali bangun tidur, kita diperingatkan dengan kematian.



Terdapat banyak hadis ada menyebutkan tentang tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah. Terlebih dahulu, antara syarat paling penting bagi seseorang itu mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada Allah SWT dan melafazkan syahadah sebelum dia meninggalkan dunia. Ini kerana Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepadaNya.

TANDA KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL KHATIMAH)
1. Mati pada hari atau malam Jumaat
2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya
4. Dia diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia
5. Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT
6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut
7. Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT
8. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak
9. Meninggal dunia kerana mempertahanakan harta dan maruah dirinya
10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh

SUASANA DALAM KUBUR:



Setelah sesi ceramah berakhir, sesi soal jawab dibuka kepada para penonton. Alhamdulillah ramai penonton aktif menanyakan soalan yang bernas serta bermaklumat dan Ustaz Muhamad Fadhli Bin Ahmat dapat menjawab persoalan dengan tepat.

Program Ceramah Ziarah ke Alam Barzakh diteruskan dengan penyampaian cenderahati penghargaan kepada Ustaz Muhamad Fadhli Bin Ahmat oleh Cik Siti Nor Ain Binti Haji Musa, Pengetua Kolej Sakura diiringi oleh Pengarah program iaitu Izzah Syahirah Binti Asik dan diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan. Tetamu VIP seterusnya dijemput menjamu selera dan para penonton bersurai.


“Sebaik-baik bekalan menuju akhirat adalah takwa.”

Disediakan oleh Ayunazira Binti Mohamad Johari
Photographer: Nurul Amira

No comments:

Post a Comment

Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.

Any feedbacks and responses are very welcome.