Ihya' Ramadhan

- Salam Sakura ku Sayang -


21 Mei 2015 | Khamis



Pada hari Khamis yang lalu pihak Jawatankuasa Surau Kolej Sakura (JASSA) telah mengadakan sebuah ceramah perdana yang bertajuk “Ramadhan Menggamit Kasih Sayang Allah SWT”. Ceramah telah disampaikan oleh ceramah jemputan, Ustazah Nuraini bt Mohd Salleh yang merupakan seorang guru J-Qaf.

Secara keseluruhannya, ceramah berkisar tentang keistimewaan bulan mulia iaitu bulan Ramadhan yang bakal menyapa para Muslimin dan Muslimat tak kira dimana mereka berada.

Ustazah Ain menyampaikan ceramah dengan begitu santai apabila ceramah beliau dimulai dengan tayangan video lagu “Kemuliaan Ramadhan” yang didendangkan oleh kumpulan nasyid terkenal Inteam dan UNIC.

Ramadhan bulan ibadah,
Bulan kerahmatan dan keampunan,
Para malaikat merendahkan sayap,
Untuk menghitung pahala berganda.

Seperti yang dinyatakan oleh Ustazah Ain, terdapat beberapa hikmah berpuasa.

Hikmah Berpuasa

1.      Menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya adalah sentiasa berada di bawah pemerhatian Allah taala.
2.       Merupakan jalan yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepadanya.
3.       Mendidik jiwa dan mengurangkan sifat keras hati yang bersarang dalam diri insan akibat kekenyangan yang berterusan
4.       Merupakan wasilah yang terbaik untuk melahirkan rasa ihsan dan prihatin sesame saudara seaqidah.

Syarat Wajib Puasa

Islam telah menggariskan 3 syarat wajib puasa untuk semua umat Islam. Apabila cukup syarat, seorang Islam itu wajib menunaikan puasa dan berdosa sekiranya dia meninggalkannya dengan sengaja.

1.       Islam
2.       Mukallaf
3.       Tiada sebarang keuzuran  yang menghalang puasa atau mengharuskannya berpuasa

Rukun Puasa
1.       Niat
2.       Menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari

In shaa Allah, sedikit sebanyak ilmu yang diperoleh daripada ceramah umum yang disampaikan oleh Ustazah Ain pada hari itu dapat dikutip untuk penambahan ilmu dalam diri masing-masing.
Semoga kita semua bersedia dan merasa teruja untuk menyambut bulan mulia, bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi ini.

Di sini kami turut ingin mengucapkan,


Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak!

Disediakan oleh: Marjana Darus

No comments:

Post a Comment

Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.

Any feedbacks and responses are very welcome.