Bengkel kecantikan khas untuk pelajar kolej Sakura diadakan pada 13 Mei 2017 pada pukul 2.00 petang. Bengkel ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan kepada pelajar tentang penjagaan kulit dengan betul. Para peserta kelihatan begitu teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang penjagaan kulit muka dengan betul serta cara-cara mengaplikasikan solekan dengan betul.
Sebelum memulakan praktikal penjagaan kulit muka, konsultan kecantikan telah memperkenalkan syarikat Mary Kay terlebih dahulu. Mary Kay ditubuhkan oleh Mary Kay Ash pada tahun 1963 ketika beliau berumur 45 tahun. Beliau seorang pemimpin yang berwawasan yang memulakan syarikat ini kerana beliau ingin memberi wanita satu peluang yang boleh memperkayakan kehidupan mereka. Pasa awal tahun 60-an, beliau menyedari bahawa wanita memerlukan peluang untuk mencapai kejayaan kewangan sambil meyeimbangkan kehidupan mereka dengan nilai dan keutamaan yang penting kepada mereka.
Mary Kay Ash mendapat banyak anugerah berprestij dan diiktiraf sebagai usahawan wanita yang terunggul dalam sejarah Amerika. Hari ini, Mary Kay Inc. adalah salah satu syarikat kosmetik terbesar di dunia dan telah mencapai status jenama utama di Amerika Syarikat. Selain itu, pasukan jualan bebas Mary Kay telah berkembang pesat dengan lebih 3.5 juta orang tersebar di lebih 35 pasaran di seluruh dunia. Mary Kay Malaysia ditubuhkan pada Oktober 2000 dan Mary Kay Singapura ditubuhkan pada Mac 2009.
Pada perkongsian kali ini konsultan kecantikan telah bercakap mengenai epidermis dan dermis. Epidermis memperlahankan kadar kehilangan lembapan dari lapisan bawah. Ia juga mengandungi sel penjana pigmen yang memberi warna kepada kulit dan boleh menjadi punca tona kulit tidak sekata. Dalam satu kitaran empat minggu secara berterusan, sel hidup bergerak dari bawah epidermis ke permukaan kulit. Dermis adalah bahagian dalam kulit, ia terdiri daripada kolagen dan serat elastin yang menyokong komponen penting dalam kulit. Apabila lapisan ini dihidratkan, kulit kelihatan lebih muda dan tampak halus.
Secara asasnya, terdapat empat jenis kulit iaitu kulit kering, kulit normal, kulit berminyak dan kulit kombinasi. Kulit kering selalu berasa ketat dan mungkin disertai garis-garis halus. Porinya lebih kecil tetapi berasa kering dan kasar apabila disentuh. Keperluan utama kulit kering adalah menambahkan lembapan dan menghidratkan semula kulit mengurangkan kedutan dan pengelupasan. Kulit normal kelihatan licin, halus serta mempunyai nada kulit yang sihat. Tekstur kulitnya halus dan poriya tidak ketara. Tumpuan untuk kulit normal adalah mengekalkan keseimbangan lembapan supaya kulit kekal sihat. Ciri-ciri kulit berminyak adalah ketara, porinya kasar dan kulit kelihatan berkilat. Sebum berlebihan menyebabkan pori tersumbat dan berjerawat. Tumpuannya adalah untuk mengawal penghasilan sebum dan membersihkan pori yang tersumbat dengan kotoran dan minyak yang berlebihan. Kulit kombinasi ini agak ormal kecuali kawasan zon T adalah berminyak sementara kawasan lain dimuka adalah kering atau normal. Tumpuan bagi kulit jenis ini adalah memastikan kulit sihat dan seimbang dengan menghidratkan kawasan kering dan mengawal kawasan yang lebih berminyak.
Sains telah membuktikan bahawa terdapat lima langkah dalam penjagaan kulit. Antaranya ialah pembersihan, pengelupasan, penyegaran, pelembapan dan perlindungan. Pembersihan adalah untuk membersih dan menangalkan solekan, kotoran dan minyak. Pengelupasan adalah untuk mrnanggalkan sel kulit mati yang terkumpul di permukaan kulit manakala penyegaran adalah untuk membersih, menyegar, melembut dan melembapkan kulit. Pelembapan adalah untuk menghidratkan semula, menyubur, memperbaiki dan menyeimbangkan kulit. Akhir sekali perlindungan adalah untuk melindungi kulit daripada bahan cemar seperti cahaya matahari dan debu, menyembunyikan ketidaksempurnaan minor serta meratakan tona kulit.
Selepas membersihkan kulit wajah, peserta diajar teknik solekan yang betul. Kemudian, sebanyak lima pasangan dikehendaki mengaplikasikan teknik yang telah dipelajari. Kumpulan yang berjaya mengaplikasikan teknik yang diajar dengan betul serta kemas dipilih sebagai pemenang. Pelajar kelihatan berpuas hati setelah tamatnya bengkel ini. Tepat jam 5 petang, bengel ini tamat seusai penyampaian cenderahati kepada wakil Mary Kay.
Di sediakan oleh,
Nor Afikah Mazlan.
No comments:
Post a Comment
Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.
Any feedbacks and responses are very welcome.