SAKURA@KENYALANG: SELERA SARAWAK





SELERA SARAWAK
SAKURA@KENYALANG

Disediakan oleh Nur Aina Balqis Binti Mohamad Rosidek


18 Mac 2018 - Program Selera Sarawak telah diadakan di Pentas Utama, pekarangan tempat letak kereta Blok C, Kolej Sakura. Program ini merupakan anak program kepada program mega kita iaitu Program Sakura@Kenyalang. Program Sakura@Kenyalang sedang berlangsung selama 9 hari bermula pada 16 Mac hingga 24 Mac 2018. Susulan daripada program mega yang sedang diadakan Kolej Sakura, program ini mempunyai usul-usul yang serupa. Program Selera Sarawak bertujuan memperkenalkan mahasiswa dan mahasiswi tentan keunikan makanan di Sarawak. Bukan itu sahaja, program ini juga memperkenalkan para peserta terhadap keunikan budaya di Sarawak.


Program Selera Sarawak ini telah dijayakan dengan sukarelawan daripada Kampung Sg Maong. Mereka telah berbesar hati memberikan pertolongan untuk menjayakan program ini. Tepat pada pukul 7 pagi pada hari tersebut, mereka sampai di Kolej Sakura dan mula menyiapkan bahan-bahan memasak. Dengan suasana yang ceria, mereka segera memasak dan membanting tulang menyediakan juadah-juadah yang melambangkan sebahagian besar kehidupan mereka di Sarawak. Para sukarelawan ini inginkan para peserta, tidak kira asal-usul mereka untuk merasakan masakan dari rumah. Tidak dilupakan juga untuk memperkenalkan makanan rakyat di Sarawak.




Antara juadah-juadah menarik yang mereka sediakan adalah beras pulut dan ubi kayu, paku pakis goreng, ayam pansuh dan sambal terung. Selepas mendaftar, para peserta terus bergerak menuju ke meja hidangan. Bagi peserta yang lahir di Sarawak, juadah-juadah tersebut mengingatkan mereka kepada kampung halaman dan keluarga yang tercinta. Senyuman terus terukir di muka para peserta. Bagi yang lahir di Semenanjung, mereka menghampiri meja-meja dengan perasaan ingin tahu. Bagi mereka, juadah-juadah yang disediakan adalah unik dan sedikit berbeza dari makanan yang biasa dihidangkan di rumah. AJK program bersedia untuk memperkenalkan dan menjelaskan tentang setiap satu juadah yang disediakan dengan terperinci. Para peserta makan dengan berseleranya, bagaikan jatuh cinta pada suapan pertama.




Sewaktu para peserta sedang menjamu selera, program dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada mahasiswa dari Kolej TAR yang memainkan irama merdu dengan Sape. Sape adalah sejenis alat muzik tradisional yang berbentuk gitar. Alat muzik ini sering digunakan oleh kaum etnik Kenyah, Kayan, Iban, Dayak dan Kelabit. Seterusnya, para peserta juga dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu tradisional.




Majlis diakhiri dengan kata-kata penutup daripada AJK program. Mereka mengucapkan ribuan terima kasih kepada sukarelawan yang telah berjaya menyediakan makanan pada hari tersebut. Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada para peserta yang menyertai program ini dan menjayakannya bersama-sama. Mereka juga telah menyampaikan cenderehati kepada sukarelawan dan bergambar bersama-sama sebelum mengakhiri program pada petang tersebut.




No comments:

Post a Comment

Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.

Any feedbacks and responses are very welcome.