AMANAT PENGETUA



Pada 5 Oktober 2018, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sakura telah mengajurkan Majlis Amanat Pengetua yang merupakan acara wajib yang akan dilaksanakan di setiap permulaan dan penghujung semester. Pada kali ini, majlis telah diadakan di Dewan Kuliah, Central Teaching Facilities 1 (CTF1), UNIMAS.

            Pendaftaran pelajar telah bermula seawal jam 7:30pm dan berakhir pada jam 8:15pm, menggunakan kaedah imbasan QR Code. Ketibaan Pengetua kolej Sakura, Cik Siti Nor Ain Binti Haji Musa yang turut disertai oleh barisan felo, Cik Noorfarida Binti Saini, Cik Puteri Azira Binti Azmin serta Inspektor Raja Nor Azizah Binti Raja Harun, tepat pada pukul 8:30pm telah disambut dengan meriah oleh penghuni Kolej Sakura. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu UNIMAS Gemilang yang kemudian turut diiringi lagu kolej iaitu Tekad Sakura.
            Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan tayangan montaj aktiviti pelajar yang telah disediakan oleh Sakura Editorial Board bagi tahun 2017/2018. Pengetua Kolej Sakura, Cik Siti Nor Ain Binti Haji Musa telah dijemput untuk menyampaikan amanatnya sebaik sahaja tayangan montaj tersebut berakhir.
            Di awal ucapannya, Cik Siti Nor Ain telah memperkenalkan felo baharu Kolej Sakura yang juga merupakan ahli pasukan Polis Bantuan di UNIMAS iaitu Inspektor Raja Nor Azizah Binti Raja Harun yang bakal melapor diri pada Isnin, 8 Oktober 2018 ini.
            Cik Siti Nor Ain kemudian menyampaikan sebuah khabar gembira dimana UNIMAS yang merupakan antara universiti termuda di Malaysia telah diumumkan sebagai salah satu daripada 100 universiti terbaik di dunia pada tahun ini. 
            Di samping itu, Cik Siti Nor Ain turut menasihati setiap penghuni kolej Sakura agar memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keharmonian Kolej Sakura terjamin. Beliau turut menggalakkan pelajar senior dan pelajar junior agar saling berkomunikasi dan saling menghormati agar hubungan yang rapat antara senior dan junior di Kolej Sakura dapat diwujudkan.
            Beliau kemudian menggalakkan penghuni Kolej Sakura agar sentiasa berusaha untuk memajukan diri dalam aspek pelajaran dan juga kokurikulum. Beliau turut berkongsi kejayaan-kejayaan lepas Kolej Sakura termasuklah kemampuan kolej untuk menjadi johan dalam beberapa pertandingan termasuk dikir barat, koir dan pertandingan mengayuh perahu Kenyalang beberapa tahun lepas. Cik Siti Nor Ain turut menyatakan kemampuan kolej untuk bersaing dengan kolej-kolej lain dalam beberapa sukan termasuk Futsal, Bola Jaring, Bola Tampar dan Bola Keranjang.
            Seterusnya, Cik Siti Nor Ain kemudian menasihatkan pelajarnya agar bijak dalam menyeimbangkan pelajaran dan aktiviti kokurikulum dimana beliau turut menyelitkan sebuah video sebagai perkongsian. Beliau kemudian menegaskan betapa pentingnya bagi para pelajar untuk mengenal pasti kepakaran masing-masing agar dapat dijadikan sebagai “selling point” sebaik sahaja melangkah keluar ke alam pekerjaan nanti.




            Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara pembubaran Barisan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sakura Sesi 2017/2018. Dengan rasminya pembubaran tersebut, nama-nama ahli Barisan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sakura Sesi 2018/2019 yang terdiri daripada 22 orang ahli telah diumumkan.
            Cik Siti Nor Ain kemudian mengakhiri ucapannya dengan ucapan, “Kekal berjaya menjadi insan yang lebih baik dari yang sebelumnya,”.
            Majlis kemudian diakhiri dengan sesi fotografi. Majlis bersurai selepas perarakan keluar pengetua kolej dan barisan felo. 

Disediakan oleh:
Deveena Iyot Anak Adrian Betie

No comments:

Post a Comment

Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.

Any feedbacks and responses are very welcome.