AMANAT PENGETUA 2018


Disediakan oleh Nur Aina Balqis

28 Februari 2018 - Jawatankuasa Perwakilan Kolej Sakura telah menganjurkan majlis Amanat Pengetua untuk Semester 2, tahun pengajian 2017/2018. Majlis in berobjektif untuk memberi pencerahan terhadap pelan-pelan pengurusan kolej, aktiviti-aktiviti kolej pada semester 2 dan menyampaikan amanat daripada pengetua kolej, Cik Siti Nor Ain Binti Haji Musa.

Pada semester kali ini, majlis ini mendapat sambutan hangat daripada para penghuni Kolej Sakura seperti semester-semester yang lepas. Hal ini kerana, mereka sangat mementingkan tentang isu-isu mengenai kawasan kediaman mereka dan bersedia memberikan pertolongan jika diperlukan. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Unimas Gemilang dan Tekad Sakura. Para hadirin telah menyanyikan dua buah lagu ini dengan penuh semangat. Sesi ini dimeriahkan lagi dengan tayangan video montaj aktiviti-aktiviti yang diadakan pada semester yang lepas. Senyuman terukir di muka warga Kolej Sakura apabila mereka mengenangkan kembali peristiwa manis yang berlaku pada semester lepas. 


Seterusnya, Cik NoorFarida binti Saini, selaku felo kolej memberikan sepatah dua kata kepada para penghuni. Belia memulakan dengan ucapan alu-aluan, menyambut kembali kedatangan penghuni Kolej Sakura yang tercinta. Cik NoorFarida juga sempat menyentuh mengenai isu-isu keselamatan dan peraturan kolej dan universiti. Beliau menegaskan bahawa hal-hal ini sering kali diambil remeh oleh para pelajar dan penghuni kolej. Lantas, beliau ingin warga Kolej Sakura untuk sentiasa berhati-hati, tidak kira di dalam kolej mahupun diluar kawasan kolej.

Cik NoorFarida juga meminta para penghuni kolej untuk menjaga adab berpakaian di kawasan kampus. Selain itu, beliau juga berharap bahawa penghuni-penghuni kolej peka dan sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain. Beliau juga memberi nasihat kepada para penghuni untuk membahagikan masa supaya akademik tidak diabaikan semata-mata kerana aktiviti kokurikular.


Tanpa membuang masa, setiausaha majlis menyerahkan majlis kepada Pengetua Kolej Sakura, Cik Siti Nor Ain binti Haji Musa. Selaku pengetua kolej, beliau juga menyambut kedatangan para penghuni, tidak lupa juga, mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina bagi penghuni yang menyambut perayaan tersebut. Sejurus itu, beliau memperkenalkan warga baru kolej yang akan mengambil alih tugas staf yang telah dipindahkan ke pejabat yang lain. Para penghuni diperkenalkan kepada Pembantu Felo, Saudari Azira Azman, yang akan berusaha sedaya upaya untuk membantu para felo kolej. 


Dengan nada yang bersahaja, beliau juga membicangkan perolehan kolej yang dilakukan sewaktu para penghuni kembali ke kampung halaman masing-masing. Beliau telah mengenal pasti masalah melalui aduan yang telah dilakukan oleh para penghuni. Beliau menyatakan bahawa staf kolej telah berjaya menyelesaikan seberapa banyak permasalahan seperti membalut tilam pelajar, menambah rak kasut untuk setiap unit rumah, menambah soket elektrik untuk kemudahan penghuni dan lain-lain. Cik Siti Nor Ain juga menerangkan tentang perancangan penambahbaikan yang diharapkan dapat dilakukan pada tahun 2018 seperti pelan penyelenggaraan tangki tandas rumah pelajar, pemasangan 'sport light' di gelanggang sukan, menukar langsir bilik pelajar dan kerja-kerja penambahbaikan untuk setiap blok kolej. Para penghuni memberikan perhatian penuh terhadap perkara-perkara ini, serta memberikan respon positif terhadap pelan-pelan tersebut. 

Tidak lupa juga, Cik Siti Nor Ain juga menyatakan penghargaan kolej terhadap individu-individu tertentu yang telah berbakti kepada kolej. EXCO Publisiti dan Komunikasi, saudari Siti Hanis Syafiqah Hamid dan saudari Izah Shahirah Mohamad telah berjaya mengumpul maklumat dan menyiapkan rekaan untuk papan maklumat kolej. Bukan itu sahaja, saudari Siti Aishah Najmuddin, Pengarah Program Smart Calliph telah berjaya mengumpul tajaan sebanyak RM 3,200 bagi program sukarelawaan tersebut. Manakala, saudari Nurul Nazira Hashim, Pengarah Program Enterpreneur Day telah berjaya menjana keuntungan sebanyak RM 1,092.55 dalam masa tiga hari sahaja.


Sejurus itu, Cik Siti Nor Ain menyatakan hasrat beliau dan staf kolej untuk warga Sakura supaya berusaha untuk memperoleh anugerah-anugerah pada tahun 2018. Sebelum beliau mengakhiri ucapan beliau, Cik Siti Nor Ain juga menasihati para penghuni untuk sentiasa peka dengan isu semasa dan mengikut arus pembangunan negara dan Revolusi Industri ke-4. Beliau juga mengingatkan penghuni-penghuni kolej untuk sentiasa mengejar masa dan berusaha bersungguh-sungguh agar kelak, mudah memperoleh perkerjaan yang stabil dan menguntungkan supaya apa yang sudah diusahakan tidak sia-sia dibuang begitu sahaja. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar. Diharapkan bahawa warga Kolej Sakura dapat mengambil iktibar dari majlis ini dan berusaha mengisi masa mereka dengan perkara-perkara yang bermanfaat. 





No comments:

Post a Comment

Segala maklum balas dan respon adalah amat dialu-alukan.

Any feedbacks and responses are very welcome.